Memperkatakan persoalan ujian hidup, Allah Taala menjelaskan : " Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan : " Innaalillaahi wa inna ilaihi raaji'uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk". (Surah Al-Baqarah : 155-157)
Bagi ibu bapa antara ujian kepada mereka ialah melayan perangai dan karenah anak-anak semenjak kecil hinggalah dewasa. Bagi individu pelajar, ujian dalam pembelajaran di institusi pendidikan amat mencabar ke arah meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Bagi individu pekerja, ujian ditempat kerja menerusi karenah majikan dan sistem kerja juga benar-benar menguji kesabaran untuk meningkatkan produktiviti kerja. Bukankah manusia makhluk Tuhan yang terbaik yang melayakkan diri mereka menerima segala ujian Allah. Apabila telah melalui ujian, status kehebatan manusia akan lebih terserlah dan darjat mereka di sisi Tuhan akan dilipat gandakan ke kedudukan yang lebih mulia.
Itulah sebabnya kita perlu melihat ujian-ujian Allah yang berlaku kepada kita sebagai suatu gambaran kasih sayang Allah kepada diri kita. Perkara ini hanya akan bererti bila kita menyedari dan meyakini sesuatu ujian itu datang dari Allah dan diri kita semakin hampir kepada-Nya setelah sesuatu ujian terjadi ke atas diri, keluarga serta orang-orang yang ada hubungan dengan kita. Kita menerima ujian dengan perasaan redha dan bersabar mencari jalan penyelesaiannya.
Ada manusia apabila menerima sesuatu ujian, dirinya semakin melupakan Allah, lebih-lebih lagi apabila ia merasakan dirinya mampu melepasi tahap ujian yang menimpa kehidupannya. Individu tersebut berjaya keluar daripada kepompong masalah dengan kepakaran dan pengalaman hidup yang dimiliki. Kesedaran seumpama ini jika tidak dibimbing boleh menjerumuskan diri seseorang kepada kesesatan yang menyebabkan dirinya semakin jauh daripada rahmat dan pertolongan Ilahi.
Ujian hidup perlu ditempuhi dengan hati yang sabar dan tenang |
Allah SWT Maha Adil dalam merencanakan ujian kepada para hamba-Nya. Sesuatu ujian diberikan kepada individu yang patut menerimanya dan ujian itu mengikut kadar kemampuan individu terbabit menanggungnya. Maka jadilah setiap ujian Allah kepada manusia mempunyai hikmah yang tinggi kepada para hamba-Nya yang ikhlas dalam memperhambakannya diri kepada Tuhannya. Kita selalu diperingatkan ketika menghadapi masalah " Bersabarlah, pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi".
Para nabi dan rasul merupakan golongan yang banyak menerima ujian Allah sesuai kedudukan mereka sebagai manusia pilihan dalam membimbing manusia ke jalan yang diredhai-Nya. Bayangkan bagaimana rintangan yang dilalui oleh Baginda s.a.w. dalam menyampaikan misi dakwahnya kepada golongan kuffar dan musyrikin, betapa berat ujian itu, namun Baginda dengan redha menghadapinya.
Seorang pemimpin akan diuji dalam kepimpinannya sesuai dengan kekuatan dirinya menghadapi ujian itu. Ibu bapa juga diuji dalam tugas-tugas keibubapaannya sesuai dengan kesediaannya mengendalikan urusan rumah tangganya. Majikan juga turut diuji dalam urusan pekerjaannya selari dengan keupayaannya mengharungi karenah pengurusan organisasi.
Oleh sebab itulah setiap individu Muslim perlu meyakini ujian yang Allah timpakan ke atas dirinya untuk sesuai dengan potensi dirinya untuk menghadapi ujian berkenaan. Alalh Taala tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya dengan meletakkan mereka dalam situasi di luar kemampuan fitrah mereka untuk menerimanya. Keadaan inilah nanti boleh digunakan sebagai salah satu kayu pengukur dalam menentukan nilai ketakwaan kita di sisi Allah Taala.
Berdoalah untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat |
Itulah sebabnya janganlah kita berdoa supaya tidak mempunyai masalah atau tidak menghadapi masalah dalam hidup kerana ianya bercanggah dengan fitrah hidup manusia yang sempurna akal dan jiwa. Sebagai makhluk terbaik kita pasti akan terus diuji dan dalam saat menghadapi ujian, kita memanjatkan doa kepada Allah supaya diberi kekuatan dalam mengharungi segalanya. Apabila kita menghadapi sesuatu masalah, jangan anggapnya sebagai masalah. Anggaplah masalah itu sebagai suatu cabaran hidup yang perlu dilalui dalam mematangkan diri ke arah kehidupan seterusnya yang pasti lebih hebat cabarannya. Sikap positif inilah yang menjadi pegangan Nabi Muhammad s.a.w dalam mengharungi segala cabaran dalam usahanya melaksanakan amanah Allah SWT ke atas dirinya, sehinggalah kita dapat menyaksikan sinar islam semakin berkembang ke seluruh pelusuk alam.
Alangkah indahnya kehidupan manusia yang dikelilingi dengan pelbagai pengalaman dan pengajaran hidup yang boleh dijadikan pedoman ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Sebagai individu muslim mukmin, pengalaman hidup yang boleh membawa dirinya semakin hampir kepada Tuhannya adalah satu anugerah Ilahi yang amat bermakna dalam meletakkan dirinya dalam kalangan hamba-hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat.
Saya amat tertarik dan tersentuh akan jalan cerita dalam drama Taubat Nasuha yang telah menyedarkan saya tentang ujian hidup dan erti bersyukur kita terhadap apa yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan kita selama ini. Saya kongsikan sedikit sedutan drama tersebut untuk anda. Diharapkan ia dapat memberi kesedaran kita untuk kita membina satu semangat hidup dan kekuatan diri yang baru dalam menempuh ujian-ujian yang bakal akan kita hadapi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment