Hati adalah suatu yang amat bernilai. Kebaikan dan kecantikan seseorang itu bermulanya dari sekeping hati yang dapat merasa dan menduga dengan bermacam-macam perkara. Sifat baik seseorang itu akan cacat sekiranya hatinya kotor, penuh dengan tipu muslihat dan selalu buruk sangka pada sesuatu perkara. Setiap orang pasti hatinya pernah bersih dan kotor suatu ketika dulu dan kemungkinan kesan daripada itu hatinya masih berbaki dengan kotoran yang sukar untuk ditanggal sekiranya dia masih tidak insaf. Hati yang bersih hanya boleh ditakluk oleh orang-orang yang beriman ,yang berbuat kebaikan kepada semua orang dengan ikhlas, yang sentiasa redha akan qada dan qadar Tuhan dan sentiasa mengingati Penciptanya.
Saya percaya di dalam diri kita ada sebuah pintu yang saya namakan pintu hati. Sebuah pintu merupakan laluan untuk kita masuk atau keluar dari sesebuah pintu itu. pintu yang terbuka juga membolehkan cahaya dan udara masuk ke dalamnya dan begitulah sebaliknya bagi pintu yang tertutup.
Sebagaimana pintu yang tertutup, pintu hati yang tertutup menyebabkan tidak ada sebarang cahaya yang dapat memasukinya. Ini boleh terjadi kerana pelbagai sebab tetapi sebab itu mungkin adalah kesalahan kita kepada Allah. Mungkin kesalahan itu adalah kerana kesalahan yang kita lakukan yang menyebabkan keimanan kita jatuh ke tahap yang paling rendah umpamanya syirik, maksiat, judi, mengkhayalkan diri dan sebagainya. Tetapi kesalahan-kesalahan kecil sesama makhluk ataupun masalah sikap contohnya panas baran, ego, sombong, kaki pukul dan sebagainya pula saya percaya tidak akan menutup pintu hati kita untuk menerima cahaya tersebut.
Sebenarnya amat sukar untuk membuka pintu hati mereka yang tertutup dan terkunci rapi kerana mereka selalunya akan menyangkal apa juga yang disampaikan kepada mereka. Telinga mereka seakan tertutup. Mereka akan selalu menawan dan mengatakan yang diri mereka benar. Ada kalanya pula nasihat yang disampaikan masuk dari telinga kiri dan keluar telinga kanan. Mereka yang selalu dalam keadaan khayal kerana dadah, mabuk, dalam kesesatan dan atas sebab lain berkemungkinan besar berada dalam keadaan sebegini. Apabila bertemu dengan orang sebegini mungkin kita perlu mencari pihak yang pakar dalam hal membuka pintu hati.
Bagi mereka yang mempunyai masalah sikap pula dengan pintu hati yang sedikit terbuka maka sedikit sebanyak cahaya tersebut boleh masuk dan menembusi dan insya-Allah lambat laun ia boleh terbuka luas untuk menerima apa juga ilmu yang hendak disampaikan sama ada tersurat mahupun tersirat. Di dalam sebuah bilik yang pintunya terbuka sedikit maka sebahagian kecil daripada bilik tersebut akan diterangi cahaya, sedangkan sebahagian besar yang lain masih gelap. Mereka ini akan mempunyai prinsip yang baik dan telus dari sesuatu aspek yang telah terang tetapi mempunyai masalah dalam pelbagai prinsip yang lainnya yang masih gelap.
Ada pula kes di mana pintu hati seseorang itu sekejap terbuka dan sekejap lagi tertutup. Apabila terbuka ia mudah untuk menerima pengisian tetapi ada masanya pula ia tertutup menyangkal umpama mencurah air ke daun keladi. Kepada pintu yang telah terbuka luas maka amat mudahlah dia melihat, mendengar, perbuat dengan mata hati, mudah untuk menerima serta menyampai ilmu, bercakap benar, berakhlak tinggi dan berpekerti mulia.
Perubahan hanya akan atau boleh berlaku bermula dari hati seseorang individu. Sekiranya dia ingin berubah maka dia sendiri harus memulakan langkah etrsebut dari dalam hatinya. Pintu hati yang tertutup akan sentiasa berada dalam gelap gelita. Mereka yang ingin berubah mestilah mengambil inisiatif membuka pintu hatinya sendiri. Pintu yang terbuka sedikit akan membolehkan cahaya memasukinya dan lambat-laun menerangi hati tersebut.
Mereka yang gagal untuk menerbitkan rasa ingin berubah ke dalam hati mereka bakal menjadi orang yang kecundang. Masa tidak akan menunggu kita, kita mestilah melakukan perubahan tersebut sekarang. Ini kerana masa akan meragut usia kita tanpa kita sedari mungkin kita tidak punya lagi masa untuk berbuat demikian.
Kalau kita tahu dan dapat mencari punca sesuatu masalah itu dan pada masa yang sama membuka pintu hati untuk memulihkannya, mencari jalan penyelesaian atau penawar yang sesuai maka denagn izin Allah saya yakin tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.Insya-Allah.....
No comments:
Post a Comment